UMNO Bukan Hanya Tahu Kritik… Banyak Cadangan Diberi Demi Rakyat, Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa kononnya pimpinan UMNO yang tidak berada dalam kerajaan hanya tahu merungut dan mengkritik.

Kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebenarnya sudah banyak cadangan, pandangan dan lontaran idea dikemukakan oleh pemimpin UMNO selama ini.

“Lebih 25 cadangan dikemukakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Mas¬lan di Dewan Rakyat semalam dan cadangan-cadangan bernas kepada kerajaan supaya negara dapat memerangi pandemik Covid-19 dengan tepat dan efektif,” katanya dalam kenyataan melalui laman facebooknya berkaitan hal tersebut.

Namun katanya, sebahagian besar cadangan tidak dilayan walaupun jelas dapat memanfaatkan rakyat dan negara.

“Justeru kita berharap segala cadangan Ahli Parlimen Pontian itu diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.

“Jangan berasa terlalu susah hati untuk melaksanakannya hanya kerana ia ilham Ahli Parlimen UMNO.

“Yang penting nasib rakyat dapat dilindungi dan negara dapat diselamatkan segera,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk

Semalam, Ahmad memberikan beberapa rangka cadangan kepada kerajaan termasuk menyegerakan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) lebih awal daripada bulan September dengan kerajaan meluluskan kedua-dua kategori penerima BKC, Bantuan Prihatin Rakyat dan penerima Geran Khas Prihatin tanpa terlalu banyak halangan dan syarat di samping benarkan akses kepada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui karenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan. – UMNO Online