Semua Ahli UMNO Tanpa Mengira Kedudukan, Pangkat Wajib Akur Dan Patuh Pendirian Rasmi Parti – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pendirian rasmi UMNO telahpun dinyatakan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin dan semua ahli serta pendokong setia parti walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam dan di luar kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian tersebut.

Menurut Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, pendirian rasmi UMNO adalah keputusan kolektif parti di mana ia selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO dan telah diperhalusi dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai yang lalu.

Tambahnya, susulan pencerahan dari Istana Negara kelmarin maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti.

“Kerajaan telah jelas membelakangkan institusi Diraja, melakukan tindakan tidak berperlembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia.

“Jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara malam tadi pula telah mengusutkan lagi keadaan.

“Kenyataan tersebut telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis Perlembagaan yang serius. Sikap kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, semua Ahli Parlimen UMNO mesti menjarakkan diri dari terheret ke dalam krisis antara kerajaan dengan Istana.

“Mereka tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran Istana kerana ia adalah institusi yang UMNO telah berikrar akan taat dan pertahankan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kebijaksanaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti.

“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negara.

“Kesetiaan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada Raja, negara dan parti.

“Pilihan wakil rakyat UMNO adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada Kerajaan PN,” ujarnya.

Begitu juga katanya yang selalu berpesan agar kita selalu bermuhasabah dan sentiasa sedar dan arif tentang asal-usul.

“Jangan hingga jadi seperti kata pepatah, “Diberi berkuku, hendak mencengkam”,” katanya. – UMNO ONLINE