Daulatkan Titah Agong, Perlembagaan Negara Ditegakkan… Keputusan MKT UMNO Jadi Panduan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen dan wakil rakyat daripada UMNO, keputusan berkaitan isu politik terkini tentulah mendaulatkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ekoran terdapat tuduhan yang mendakwa beliau derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Isu politik terkini sebagai Ahli Parlimen Pontian dan wakil rakyat parti UMNO, terlalu mudah untuk saya buat keputusan. Tentu saya mendaulatkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, Perlembagaan Negara mesti ditegakkan.

“Perlembagaan UMNO dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijadikan panduan,” katanya dalam ciapan menerusi Twitternya.

Jelasnya, sejak Januari beliau telah meminta agar Parlimen bersidang.

“Ada yang tuduh saya derhaka. Namun titah Tuanku Agong sejak Februari jelas, Parlimen boleh bersidang walau ketika darurat.

“Keputusan yang betul tentang isu darurat dan ordinannya, ia perlu dibahas dan diputus oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online