UMNO Tegaskan Perikatan Nasional Telah Tiada Majoriti, Cabar Segera Panggil Sidang Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas mendakwa Kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar kerana sebelum ini Perikatan Nasional hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

Sehubungan itu, katanya, UMNO mencabar Kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga Persidangan Parlimen pada bulan September

“Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan (8) Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri. Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021, bagi menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi.

“Pada hari ini saya telah mengutus warkah kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” katanya lagi. – UMNO Online

Download (PDF, 254KB)