COVID-19: Mesyuarat UMNO Cawangan Ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa mesyuarat UMNO Cawangan di seluruh negara bagi tahun 2021 yang dijadualkan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Beliau berkata keputusan penangguhan adalah kerana penularan COVID-19 yang masih mencatatkan angka tinggi saban hari.

“Jumlah mesyuarat yang ditangguhkan melibatkan 66,287 bilangan mesyuarat Cawangan di 191 UMNO Bahagian. Walaupun bilangan kehadiran hanya satu perempat dan tiada pemilihan diadakan,

“Pada 11 Ogos 2021, kes harian COVID-19 ialah 20,780. Jumlah kes aktif pada 10 Ogos 2021 ialah 230,762 kes dan kematian 11,162 kes. Negeri di fasa satu sebanyak enam buah dan di fasa dua juga enam buah.

“Walaupun negeri di fasa dua, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikenakan dan mesyuarat bersemuka masih tidak dibenarkan. Untuk mesyuarat secara maya
pula, banyak tempat yang menghadapi masalah capaian internet,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya mesyuarat Pengurusan UMNO pada 8 Ogos 2021 dan keputusan majoriti Ahli Majlis Kerja Tertinggi pada 10 Ogos 2021 menetapkan bahawa mesyuarat cawangan tanpa pemilihan ditangguhkan hingga keadaan COVID-19 yang lebih terkawal. – UMNO Online