Yakini Kebijaksanaan Tuanku

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ekoran perkembangan semalam, jelas bahawa YAB Perdana Menteri tidak lagi memegang sokongan majoriti lebih 110 Ahli Parlimen.

Pelbagai ramalan yang diutarakan penganalisa mahupun pemerhati politik tentang apa yang akan berlaku seterusnya – dari ramalan Perdana Menteri baru “interim” sehinggalah “Kerajaan minoriti”, yang mana kedua-duanya tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi dari pemahaman saya, tidak bermaksud suatu penyelesaian mirip kepada kedua-dua itu mustahil dilaksana mengikut lunas Perlembagaan.

Maka dalam senario dimana PRU segera tidak menjadi pilihan, dan dimana PM8 tidak lagi ada majoriti Dewan, pengaruh besar dalam menentukan senario apa yang terbaik, dimiliki KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seperti biasa, UMNO meletakkan insititusi Raja Berperlembagaan pada tahap yang tinggi. Kita wajar memiliki penuh keyakinan bahawa SPB YDPA sebagai Ketua Negara akan melaksanakan peranan dan kuasa Baginda sebaiknya berlandaskan apa yang tertakluk didalam Perlembagaan serta mengambilkira segala sudut pertimbangan.

Sama-sama kita doakan:
– Situasi ini tidak berlarutan dan satu penyelesaian tercapai segera.
– KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong terus diberikan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Daulat Tuanku.

Shahril Hamdan

Ketua Penerangan UMNO

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia