PKS Dalam Keadaan Kritikal, Tetapi GST Bukan Jawapannya Sekarang – Shahril

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) menyarankan agar Kabinet baharu memfokuskan usaha bukan hanya kepada segmen pengguna tetapi juga perniagaan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mereka memberi beberapa cadangan untuk dipertimbangkan untuk membantu aliran tunai PKS. Antaranya:

1. Pengurangan cukai korporat untuk tahun taksiran 2021 dan 2022.

2. Pengecualian dan pengurangan bayaran ke Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

3. Menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 4%.

Saya setuju sepenuhnya bahawa pemulihan ekonomi tidak boleh tertumpu 100% kepada bantuan kewangan kepada pengguna tanpa intervensi sesuai kepada usahawan dan PKS.

Tetapi, saya kurang setuju GST diperkenal semula pada saat ini, walaupun pada kadar rendah dari SST.

Benar, GST ialah cukai lebih telus dan membantu perniagaan SME untuk ‘claim’ cukai input. Tetapi dengan pengenalan GST juga, kos akan diturunkan ke pengguna.

Kalau GST tidak dimansuhkan dahulu, isu ini tak berbangkit. Tetapi apabila telah dimansuh, kemudian perkenal semula, akan ada kesan kos peralihan yang mampu memberi kesan kepada pengguna. ‘Timing’ tidak sesuai.

Intervensi tidak boleh mencederakan tahap kepenggunaaan pada ketika belanja pengguna masih rendah berbanding sebelum COVID-19.

Bukan sahaja ia akan merencatkan perbelanjaan oleh pengguna malah tidak akan menambah hasil yang signifikan kepada kerajaan.

Setelah ekonomi pulih, barulah sesuai kita melihat semula pelaksanaan GST.

Cadangan lain dari SAMENTA boleh dipertimbangkan, seperti cadangan pengurangan sumbangan levi HRDF.

Tahap kewangan agensi tersebut dilihat masih baik dengan dana dari kerajaan di samping sumbangan dari syarikat lebih besar yang mencatat keuntungan.

Di samping itu, beberapa usaha lain yang saya pernah catit untuk pertimbangan:

– Langkah yang mampu meningkatkan pinjaman dari institusi kewangan pembangunan (DFI) kepada PKS.

– BNM salurkan dana kepada bank komersil pada kos sifar, dengan syarat dana itu disalurkan dalam bentuk pinjaman kepada PKS.

– (Jika tiada jalan lain) Suntikan modal ke dalam PKS sepertimana Danaharta dahulu.

Selagi langkah itu boleh membantu aliran tunai PKS, ia wajar diperhalusi kerana bank komersil hari ini dilihat tidak bersedia memanjangkan kredit kepada SME. – UMNO ONLINE

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia