Usaha Bendung COVID-19 Harus Diperhebat Walau Ditukar Kepada Endamik – Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak kerajaan tidak memperlahankan usaha mengurangkan kadar jangkitan walaupun selepas mengisytiharkan fasa pandemik COVID-19 telah berakhir.

Jelasnya, jangkitan COVID-19 di Malaysia yang mahu diumumkan memasuki fasa ‘endemik’ seiring dengan kadar jangkitan dan kematian yang rendah.

“Usaha membendung penularan harus terus dipergiat meskipun rakyat akan diminta menerima hakikat mereka perlu hidup dengan virus berkenaan.

“Memandangkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selepas fasa pandemik ditukar kepada endemik, aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diperhebat dan diperkasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan tahap ancaman virus COVID-19 dikatakan sudah tidak begitu berbahaya kepada penerima lengkap dos vaksin, namun risiko kesihatan tetap ada.

“Kita tidak mahu begitu ramai penduduk Malaysia jatuh sakit saban hari kerana pada akhirnya ia tetap menjejaskan produktiviti.

“Aktiviti perniagaan boleh terus terganggu apabila kerap wujud kluster di tempat kerja. Terus berpegang pada prinsip ‘prevention is better than cure’,” ujarnya. – UMNO Online