Pemuda UMNO Teruskan Komitmen Jadi Jurubicara Rakyat, #TuntutanRAKYAT Diteruskan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan ramai yang mesej secara peribadi mengharapkan agar Pemuda UMNO terus bersuara dalam isu-isu menyentuh #TuntutanRAKYAT yang diketengahkan oleh pergerakan itu.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus melaksanakan komitmen terbabit.

“Insya-Allah, sebagaimana yang saya sendiri nyatakan komitmen sebelum ini, Pemuda UMNO tidak akan berhenti malah akan terus menjadi lidah penyambung dan jurubicara rakyat bagi mangangkat isu-isu menyentuh kepentingan semua kepada pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Untuk makluman, katanya #TuntutanRAKYAT telah dibentangkan dan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri pada 27 Ogos lepas.

“Sejak itu, saya sendiri follow-up dengan Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan beberapa isu mendesak seperti BKC agar dapat segera dikreditkan ke akaun penerima.

“Minggu ini sedang berusaha dapatkan slot temujanji untuk bertemu dengan CEO KWSP agar dapat membawa suara rakyat yang menuntut agar i-Citra ditambahbaik dengan membenarkan pencarum mengeluarkan kadar minimum RM10,000 secara one-off atau jumlah yang berkadaran dengan baki minimum yang ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2 KWSP.”

Jelasnya, Pemuda UMNO juga akan terus follow-up dengan pihak Menteri Kewangan Tengku Zafrul agar isu-isu lain berkaitan moratorium tanpa faedah terakru, moratorium LPPSA, database LHDN, birokrasi dalam rayuan dan perkara-perkara lain dalam #TuntutanRAKYAT dapat dipenuhi oleh kerajaan.

“Doakan agar usaha ini dipermudahkan demi rakyat yang berada dalam kesempitan, susah dan amat tertekan ketika ini,” katanya lagi. – UMNO Online