Selamat Hari Malaysia, Pertahan Jati Diri Sepenuh Jiwa Raga – Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Malaysia adalah jati diri yang akan dipertahan sepenuh jiwa raga walau apa jua dugaan mendatang.

Kerana itu katanya, walau di mana berada tetap berbangga sebagai warganya yang aman, makmur dan sentosa.

“Tanggal 16 September 1963 lahirlah sebuah persekutuan dipanggil Malaysia. Malaysia sebuah negara berdaulat bersama masyarakatnya yang bergabung dan bersatu padu,” katanya dalam ucapan sempena Hari Malaysia menerusi laman facebooknya, hari ini.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), rakyat beberapa belas buah negeri bersama membentuk Malaysia dengan tekad warganegara.

“Syukur ke hadrat ilahi selepas 58 tahun inilah negara kita negara Malaysia selamanya.”

Ujarnya, pada tahun ini sambutan Hari Malaysia masih dalam suasana pandemik COVID-19, namun bukan percikan bunga api atau riadah cuti umum jadi keutamaan.

“Sebaliknya penghayatan sejarah penubuhan Malaysia yang membentuk nilai diri pada hari ini.

“Menghargai nikmat kebebasan sebuah negara yang bebas daripada belenggu penjajahan. Memperingati jasa dan sumbangan pahlawan terdahulu mengangkat martabat tanah air. Bagi menyematkan semangat dan iltizam memerangi musuh baru negara pandemik Covid-19, maka teruslah bersama memastikan kesinambungan keharmonian sebagai asas semangat perpaduan.

“Saya mengucapkan selamat Hari Malaysia Ke-58 kepada seluruh rakyat negara bertuah ini,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online