“Kita Adalah UMNO, UMNO Adalah Kita. UMNO Adalah Maruah, Masa Depan Kita Bersama”

“Kita adalah UMNO dan UMNO adalah kita. UMNO adalah maruah dan masa depan kita bersama.”

Demikian kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menuntut sebuah perjuangan yang luhur.

“Perjuangan demi kepentingan parti keramat agama, bangsa dan negara. Insya-Allah jika terus berpegang teguh kepada asas itu akhirnya beroleh kejayaan.

“Maka seluruh jentera, ahli, penyokong, pimpinan UMNO perkasa semangat, berpadu dan berjuang. Mengembleng tenaga serta buah fikiran untuk bersama-sama memenangkan calon-calon BN,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Ulasnya lagi, tiada lebih utama dalam PRN Melaka yang terpaksa diharungi ini berbanding kejayaan parti.

“Fahami dengan mata hati PRN Melaka adalah perjuangan UMNO demi masa depan rakyat dan negara.

“Ini adalah amanah dan tanggungiawab kita bersama untuk mengembalikan kebenaran kepada rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam perjuangan menegakkan kebenaran kadangkala menuntut pengorbanan.

“Pengorbanan masa, tenaga, perasaan dan segalanya, tetapi sesungguhnya ia sesuatu yang suci dan murni,” katanya. – UMNO ONLINE