Pilih BN… Manifesto Berteraskan Komitmen Dan Tanggungjawab

Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran adalah berasaskan komitmen dan rasa tanggungjawab terhadap rakyat.

Katanya, manifesto itu dibuat adalah berasaskan kepada komitmen dan juga rasa tanggungjawab yang perlu ada dan perlu sampaikan kepada rakyat bagaimana bentuk pentadbiran BN sekiranya berkerajaan.

“Kalau ada parti lain yang buat manifesto, kita jangan lupa dulu mereka kata manifesto hanya sebagai kitab, jadi jangan percaya manifesto atau janji terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan juga jangan lupa Perikatan Nasional (PN) yang di dalamnya ada PPBM.

“PPBM ini dulu adalah teras kepada PH dan mereka sama-sama membuat manifesto yang sebenarnya hanya satu janji yang tak ditunaikan, janji yang tak bertanggungjawab dan kita semua tahu malah telah tertipu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘Gegau Melaka: BN Teras Politik Negara’ yang disiarkan melalui laman facebook dan youtube UMNO-Online, malam tadi.

Dalam masa yang sama, Khaled turut menyebut berkaitan komitmen BN melaksanakan perubahan dengan mengemukakan muka baharu.

“BN meletakkan semua calon untuk bertanding dalam 28 DUN (Dewan Undangan Negeri) dan sudah tentu harapan kita supaya rakyat menilai dan memilih dengan memberi kemenangan kepada BN.

“86 peratus calon muka baru adalah satu komitmen untuk berubah dan memberi ruang atau peluang kepada semua lapisan.”

Beliau menjelaskan bahawa BN amat teliti dalam menentukan kriteria pemilihan calon-calonnya.

“Kriteria memilih calon BN adalah kualiti iaitu yang pertama BN mahukan calon yang berkualiti. Kedua tunjukkan kepelbagaian dalam BN, ada kemajmukan, ada pelbagai bangsa dan pelbagai peringkat usia.

“Dan ketiga dalam kriteria memilih calon ialah yang boleh bekerja keras, bukan kerana kuasa atau kepentingan diri tetapi lebih kepada keupayaan untuk berkhidmat kepada rakyat.”

Ujarnya, pemilihan calon ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan pihak lawan.

“Berbanding di pihak lawan sebelah sana calon-calonnya lebih kepada asalkan ada calon, asalkan ada lawan.

“Calon-calon UMNO adalah mereka yang bergerak berasaskan kepada akar umbi iaitu atas khidmat kepada rakyat.

“Lihat bagaimana keadaan walaupun UMNO kalah tetapi kerja-kerja atau khidmat kepada rakyat tetap dilaksanakan di peringkat akar umbi. Ini maknanya UMNO hidup dan tetap menjalankan bakti kepada orang ramai walaupun tanpa kuasa.”

Berkaitan persoalan keputusan UMNO/BN bertanding atas parti sendiri, beliau menolak dakwaan UMNO bersifat ‘abang besar’.

“Soal UMNO/BN bertanding solo perlu difahami oleh semua pihak kerana ia telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“Antaranya adalah kerana UMNO tak boleh bekerja dengan orang yang dah lompat parti, UMNO tak boleh bekerja dengan orang yang meletakkan kepentingan dirinya lebih dari kepentingan ramai, kepentingan ahli dan kepentingan parti.

“Kita kena ingat apabila UMNO kalah dan tidak menjadi kerajaan maka mereka tinggalkan UMNO sedangkan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan negara. Takkan UMNO nak mendakap orang yang dah mengkhianati parti,” tegasnya lagi.

Lantaran itu katanya, rakyat perlu terus memilih BN kerana kesungguhannya dalam usaha untuk memastikan kestabilan rakyat dan negara. – UMNO Online