Banjir: UMNO Harap Bantuan Digerakkan Ke Tahap Maksima, Jentera Parti Dikerah Berkhidmat

KUALA LUMPUR, 19 Dis – UMNO mengharapkan agar jentera dan agensi Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri digerakkan ke tahap maksima bagi membantu mangsa banjir khususnya di Selangor dan di beberapa negeri lain

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Skuad Sabil, Skuad Sayang, UMNO Bahagian, UMNO Cawangan empat peringkat Wanita, Pemuda, Puteri di seluruh negara juga perlu segera membantu untuk perpindahan, tugas sukarela di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan membersihkan rumah-rumah mangsa.

“Ketika rakyat susah dan menghadapi bencana, jentera UMNO semua peringkat wajar bersama di barisan hadapan untuk saling menghulurkan bantuan sedaya yang boleh dan merentasi fahaman politik.

“Bagi pihak Presiden UMNO dan seluruh kepimpinan, dirakamkan setinggi penghargaan atas kerjasama yang anda berikan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini, hari ini.

Dalam masa yang sama beliau mengajak semua pihak untuk sama-sama berdoa agar keadaan segera pulih.

“Bersamalah kita mendoakan agar banjir di kawasan terjejas di seluruh negara segera pulih dan rakyat boleh kembali ke kediaman masing-masing dengan keadaan yang sihat dan selamat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian. – UMNO Online