Simpati Kerosakan Akibat Banjir… Harap Tak Ada Pihak Ambil Kesempatan – Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, begitu banyak kenderaan terutama kereta dan motosikal ditenggelami air akibat bencana banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dimaklumkan sebahagiannya mengalami kerosakan yang amat teruk dan sukar dibaiki.

“Sangat simpati dengan keadaan itu. Semoga semua pemilik kenderaan terlibat bertabah menghadapi dugaan itu.

“Kita sedia maklum kereta dan motosikal bukan lagi suatu kemewahan, sebaliknya suatu keperluan,” katanya berkaitan hal tersebut menerusi laman facebooknya, hari ini.

Dengan itu, beliau amat berharap semua pemilik bengkel kenderaan sangat bertimbang rasa dengan mangsa banjir.

“Tidak cuba mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan bagi kerja-kerja pembaikan kenderaan.

“Begitu juga pemilik perniagaan alat ganti diharap tidak menaikkan harga ekoran terdapat permintaan yang tinggi.

“Apatah lagi kebanyakan pemilik kenderaan dilaporkan tidak melanggan polisi insurans bencana alam.”

Ujarnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah memberi amaran berkaitan hal tersebut.

“Janganlah kerana mengejarkan keuntungan yang singkat terpaksa berdepan kesulitan masa panjang. Sekarang adalah masa untuk semua piihak bersama membantu mereka yang sedang dalam kesusahan.

“Justeru kita menaruh keyakinan kepada hati budi para pengusaha bengkel dan peniaga alat ganti.

“Semoga jasa baik mempermudahkan urusan mangsa banjir menambah luas rezeki pengusaha bengkel dan peniaga alat ganti. Seperti ungkapan buat baik dibalas baik dan budi yang baik pasti dikenang juga. Yakinilah setiap kebaikan ada rahmatnya.” – UMNO Online