Segerakan Bantuan Mangsa Banjir – Ahmad Maslan

AYER LIMAU, 29 Dis – Ramai mangsa banjir memerlukan bantuan kewangan ekoran bencana alam yang menyebabkan kerosakan teruk rumah mereka, demikian tegas Setiausaha Agung UMNO (SUA) Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sehubungan itu, beliang menggesa agar semua pihak yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat mempermudahkan penyaluran sebarang bentuk bantuan kepada mangsa banjir dengan kadar segera.

“Kita berharap agar bantuan kerajaan Pusat dan NADMA akan disegerakan sebanyak RM1,000 dan begitu juga bantuan dari kerajaan Negeri Melaka sebanyak RM200. Ini bererti mangsa banjir di Melaka mendapat RM1,200 keseluruhannya.

“Difahamkan juga jika ada rumah yang musnah akibat banjir, kerajaan Pusat akan memberikan bantuan. Bantuan itu juga berasingan bagi memperbaiki rumah.

“Dalam bajet 2022 baru-baru ini Ahli-ahli Parlimen telah meluluskan bantuan untuk anak-anak sekolah sebanyak RM150 bagi setiap anak yang bersekolah untuk membeli peralatan dan buku sekolah yang musnah akibat banjir dan bantuan itu perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Kompleks Japerun Ayer Limau, Lubok China, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Latipah Omar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turun padang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran kepada kepimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah yang hadir menerima sumbangan tersebut.

“Bagi pihak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO Masjid Tanah di atas sambutan ini.

“UMNO Pusat memberikan sumbangan bantuan kepada 300 mangsa banjir terutama sekali di DUN Ayer Limau yang terkesan dengan bencana ini,” katanya lagi. – UMNO Online