Pemimpin Luar Jangan Lebih Sudu Dari Kuah, Komen Hal Dalaman UMNO – Shahril

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan UMNO adalah suatu yang tidak wajar.

Katanya ini kerana sesuatu perbincangan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah hal dalaman parti ini dan tidak sepatutnya pemimpin luar memberikan sebarang kenyataan.

“Tanpa mengurangkan hormat kepada Presiden PAS, saya menganggap kenyataan beliau mengenai pendirian majoriti ahli MKT sebagai kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pimpinan parti lain.

“Seperti mana tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepimpinan PAS juga menghormati decorum dalam hubungan antara parti dan mengelak dari membuat komen bagi pihak UMNO.

“Sama ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak menyokong sesuatu perkara menjadi rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklankan atau disahkan di luar. Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, ianya juga seperti mana organisasi lain yang punyai struktur, setelah dimurnikan semua suara dalam badan pembuat keputusan sebelum sesuatu pendirian rasmi dikeluarkan.

“Soal pandangan mana-mana individu yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, itu soal dalaman organisasi yang tak perlu dispekulasi oleh pihak lain. Apatah lagi semua ahli MKT telah bersumpah rahsia sejak awal penggal lagi,” tegas Shahril.

Jelas beliau lagi, UMNO juga sebelum ini tidak pernah sesekali menolak Muafakat Nasional (MN) malah pendirian rasmi Perhimpunan Agung UMNO 2020 juga menyebut keinginan untuk memperkasakan kerjasama itu.

“Cuma, ia perlu diselaraskan dengan suatu lagi pendirian rasmi bahawa parti menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Maka, apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihanraya bersama Perikatan Nasional (PN) maka ia meletakkan UMNO dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN seperti mana dahulu sehingga terpaksa ada pertembungan pelbagai penjuru apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti di PRN Melaka. Semua perkara ini telah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang wujud disebabkan pendirian PAS,” katanya.

Bagaimanapun menurut Shahril perkara yang paling penting bahawa UMNO menghormati pendirian PAS dan tidak memaksa parti itu melakukan perkara yang tidak dikehendaki mereka.

“Jadi, sebagai tanda keikhlasan persahabatan, harapnya PAS juga menghormati pendirian UMNO dan tidak memaksa kami atau menghebahkan spekulasi dengan harapan kami melakukan sesuatu yang sememangnya sukar – khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.

“Mungkin dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas politik penggal ini,” ujar beliau. – UMNO Online