UMNO Sabah Bawa Kekuatan Tersendiri, Komited Perkasa Perjuangan Parti – Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan UMNO Sabah mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam meneruskan perjuangan parti keramat ini meskipun berdepan pelbagai ujian semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, kepimpinan parti sewajarnya mencontohi semangat yang dimiliki oleh jentera parti di negeri ini bagi memastikan UMNO terus relevan membawa agenda memperkasa nasib rakyat.

“UMNO Sabah istiqamah dalam usaha politik… kita ertinya UMNO Malaysia perlu belajar dari semangat kepimpinan dan ahli-ahli akar umbi negeri kerana ketika itu seolah-olah parti ini tidak ada masa hadapan.

“UMNO di Sabah dari 25 bahagian 22 ketua bahagian meletak jawatan dan membubarkan UMNO di bahagian masing-masing tetapi jelas di bawah lingkungan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan dua lagi ketua bahagian rupanya UMNO masih relevan di Sabah.

“Bukan sahaja relavan malah bertambah kuat dengan adanya kepimpinan baharu dan kita lihat bagaimana game changer ini dilakukan. Dalilnya apabila kita menang 14 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebenarnya kita boleh menang lebih dari 14 sekiranya tidak ada helah politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama UMNO Sabah yang turut dihadiri oleh Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan, Datuk Yakub Khan serta kepimpinan bahagian-bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Bagaimanapun jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi ianya juga merupakan satu anjakan paradigma buat kepimpinan negeri untuk memastikan UMNO terus kekal kukuh di Sabah untuk mendepani pilihan raya yang seterusnya.

“Saya beritahu kepada Bung muslihat politik itu telah berlalu tetapi jika ada PRU-15 di Sabah untuk kerusi Parlimen dan jika ada pilihan raya negeri yang baharu nanti saya amat yakin bahawa UMNO akan dominan semula untuk memerintah negeri ini.

“Nasib kita ditentukan oleh Allah dengan syarat perkukuhkan barisan kepimpinan UMNO/BN itu. Namun jangan tenggelam dalam pujian daripada pihak luar segalanya terpulang kepada kita untuk membuktikan kita relevan,” ujar beliau. – UMNO Online