Gerak Kerja Bersepadu BN Penting Hadapi PRN – Mohamad

JOHOR BAHRU, 26 Jan – Gerak kerja bersepadu jentera Barisan Nasional (BN) amat penting bagi menghadapi pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal dilaksanakan kelak, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas beliau, parti-parti komponen perlu mengetahui peranan mereka supaya keupayaan parti dapat digunakan sebaiknya bagi memberi kemenangan kepada BN.

“Kita hendak dilihat sebagai jentera yang mempunyai gerak kerja besar kerana di negeri-negeri lain termasuk di Johor mempunyai komposisi kaum di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Jadi gerak kerja bersepadu jentera BN amat penting. Saya yakin sekiranya dilaksanakan dengan baik kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan Pengerusi BN bersama Badan Perhubungan UMNO, MIC dan MCA.

Sementara itu Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa perbincangan berkenaan calon yang bakal diketengahkan untuk PRN ini belum dilakukan.

“Kita tidak lagi sampai tahap berbincang mengenai calon… itu biarlah dilakukan dalam proses yang sebaik, mungkin yang pentingnya fikirkan formula bagaimana hendak meyakinkan pengundi untuk memberikan mandat kepada BN.

“Kerana inilah tujuan utama mengapa PRN ini diadakan untuk kembalikan semula mandat rakyat supaya mendapat sebuah kerajaan yang tidak lagi dipersoalkan kesahihannya.

“Johor merupakan salah satu daripada negeri yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang besar kepada negara jadi mengembalikan kepercayaan kepada kerajaan yang diberi mandat itu penting,” ujar beliau.

Dilaporkan, pembubaran DUN Johor dilaksana Sabtu lalu selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan menandatangani watikah pembubaran untuk memberi laluan kepada PRN Johor. – UMNO Online