Guna Logo Sendiri Di PRN… Bibit Perpecahan Antara PKR Dan PH – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah disebabkan hilang kepercayaan kepada parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, bibit perpecahan antara mereka juga dapat dihidu setelah kekalahan PH di Melaka termasuk PKR yang gagal menyumbang sebarang kerusi pada parti mereka.

“Kalau mereka padu ketiga-tiganya iaitu Dap, Pan dan PKR tentu akan menggunakan lambang merah putih PH.

“Tetapi nampak PKR sudah tidak yakin pada PH, kalau tidak mahu guna kepada logo itu… maknanya tak percaya.

“Lagi pun PKR ini tidak memenangi sebarang kerusi di Melaka dan Sarawak jadi mereka tukar strategi untuk menggunakan bendera sendiri itu menunjukkan mereka sudah semakin kecil dan berpecah. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak sehebat yang disangkakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program PRN Johor: BN Demi Kestabilan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook sebentar tadi.

Sementara itu, bercakap mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Ahli Parlimen Pontian itu juga turut mengingatkan pengundi di Johor termasuk golongan muda untuk tidak melupakan bahawa parti itu sebelum ini juga adalah sebahagian daripada PH.

Katanya, Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga merupakan antara salah seorang yang menghasilkan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) lalu.

“PH dalamnya dahulu ada PPBM, jangan buat-buat lupa. Jadi alang-alang hendak membelasah baik kita buat betul-betul.

“PH menipu manifesto termasuk PPBM sebab mereka ini merupakan sebahagian daripada PH pada ketika itu, termasuk yang menulis manifesto salah seorangnya adalah Wan Saiful.

“Anak-anak muda perlu membuat kajian sikit pasal parti-parti mereka ini, kita tak kata parti UMNO ini sempurna tapi jangan la tuduh UMNO macam-macam apabila mereka kata macam-macam ingat kami ini tunggul kayu ke tak boleh bercakap?” soal beliau.

Katanya lagi, meskipun pelbagai kelemahan lawan diungkap namun UMNO/BN tidak seharusnya mendabik dada namun perlu fokus kepada gerak kerja yang diaturkan demi mengembalikan sepenuhnya Johor kepada gabungan keramat ini.

“UMNO BN memang padu semangat di Melaka dan kemenangan rakan kita di Sarawak menjadi motivasi supaya terus usaha dan mantapkan jentera untuk memenangi apa juga PRU PRN yang akan datang,” ujarnya. –UMNO Online