Kerajaan Johor Sentiasa Diancam, PRN Jalan Terbaik Makmurkan Negeri – Mohamad

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan bahawa kemakmuran hanya akan dapat dicapai melalui kestabilan dan PRN yang dilaksana adalah bagi memastikan mandat memilih kerajaan kembali kepada rakyat.

Tegasnya Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad terpaksa menasihatkan Sultan Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar PRN diadakan kerana dengan kelebihan satu undi sahaja beliau tidak dapat melaksanakan pentadbiran dengan lancar.

“Sampai bila nak ada kerajaan yang sebegini, yang sentiasa sahaja diancam, diugut kalau tak beri apa yang dia nak maka dia tak akan sokong… kerajaan begini tak dapat menumpukan untuk mentadbir apatah lagi untuk membangunkan ekonomi negeri dan rakyat sekalian.

“Itu sebab, niat BN adalah untuk membawa kestabilan, maka pada 26hb nanti penamaan calon dan pada 12 Mac hari pengundian. Kita pulangkan semula mandat kepada rakyat kerana kita tak mahu dalam keadaan begini iaitu kerajaan yang tidak ada mandat daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN di Pusat Operasi Zon Selatan, malam tadi.

Mohamad optimis berasaskan kepada pola pengundian yang ada sekarang ini rakyat sudah muak dengan perangai pemimpin lawan.

“Dulu kata kamilah yang terbaik sekali, dulu cakap kami boleh buat macam-macam, janji seribu janji… kalau saya menang tol akan dihapuskan di Simpang Renggam esok pagi, tapi ada sampai sekarang.

“Jangan percaya dengan janji-janji itu. Janji mereka tetap janji, seribu kali janji tapi tak ada yang mereka lakukan selama 22 bulan mentadbir malahan ekonomi negara menjunam jatuh. Bayangkan pula kalau mereka mentadbir negara selama satu penggal.”

Bidasnya, kepimpinan PH bukan hanya membuatkan ekonomi negara merudum malah mereka tidak mempunyai langsung rasa hormat kepada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan apa yang telah ditandatangani oleh kerajaan BN termasuk perjanjian antarabangsa.

“Masyarakat antarabangsa merasa amat kesal, perjanjian terpaksa dibatalkan begitu sahaja, mereka membuat musuh dengan negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan kita malah harga sawit menjunam jatuh.

“Hari ini rakyat dah mula dapat bezakan. 62 tahun di bawah BN berbanding 22 bulan di bawah kerajaan gagal dan 17 bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tak buat apa-apa tetapi mengurung rakyat paling lama.

“Jadi pada PRN ini jentera perlu yakinkan kepada rakyat bahawa jika hendakkan kemakmuran untuk sebuah negara dan negeri yang stabil politiknya, maka pilihlah BN.”

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan untuk anggota jentera bekerja keras dan tidak mengulangi sebarang kesilapan dalam PRU lalu.

“Nak menang, kita pastikan ia parti kita, nak menang susun jentera baik-baik kerana jentera yang tersusun akan dapat hasil yang baik. Kita ada pengundi dan kita nak lihat negeri ini ditadbir semula oleh BN selepas PRN ini.

“Kita mahu lihat untuk Johor menjadi sebagai peneraju utama di dalam negara kita iaitu kuat ekonomi Johor maka kuatlah ekonomi negara kita, stabil Johor maka stabillah kita. Insya-Allah jika ini ada dalam sanubari kita, maka kita akan berjaya,” katanya lagi.

Hadir sama merasmikan majlis tersebut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti. – UMNO Online