Ikhtiar BN Johor Bukti Keprihatinan Kepada Rakyat – Noraini

PENGERANG, 2 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menghargai Ikhtiar Barisan Nasional (BN) yang mencakupi semua lapisan khususnya kepada golongan wanita di negeri ini.

Katanya, penekanan kepada inisiatif keusahawan yang diketengahkan oleh BN adalah penting dan membuktikan komitmen kerajaan baharu kelak sekiranya mendapat mandat daripada rakyat pada 12 Mac ini.

“Ikhtiar manifesto BN menfokuskan kepada keusahawanan kepada wanita yang diberikan peluang oleh kerajaan negeri yang tidak pernah melupakan wanita,” ujar beliau.

Noraini juga meluahkan keyakinan bahawa kesemua calon daripada Wanita akan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya sekiranya mereka dipilih oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya ini kerana, calon Wanita yang diketengahkan bagi mewakili BN ini sudah terbiasa melaksanakan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.

 

“Saya percaya calon-calon khususnya daripada Wanita mampu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik sekiranya dipilih pada 12 Mac nanti.

“Ahamdulillah setiap calon menfokuskan pada kawasan masing-masing dan kita di dalam merangka kempen tersebut meminta untuk mereka berjumpa seramai mana pengundi yang boleh sebab lagi banyak ditemui adalah lagi bagus.

“Jentera terutama ketua Wanita di peringkat bahagian memang sentiasa prihatin malah ini bukan kali pertama memberikan khidmat bakti cuma kebetulan dijadikan sebagai calon maka mereka meneruskan perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan walkabout di Rumah Rakit Orang Asli di FELCRA Layau bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Fauziah Misri yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengerang.

PRN Johor ini menyaksikan sembilan calon Wanita dan Pergerakan Puteri diketengahkan selain Fauziah, antaranya Haslinda Salleh (Tenang), Nur Fara Samsudin (Maharani), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja).

Turut dicalonkan, Norliza Noh (Johor Lama), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Khairin Nisa Ismail (Serom).

Sementara itu, Noraini yang Menteri Pengajian Tinggi itu menyatakan bahawa parti tidak menghiraukan poster boy yang diketengahkan oleh parti lawan kerana BN secara konsisten mengekalkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Hasni Mohammad sebagai menteri besar.

“Kita punya poster boy adalah Hasni… tidak ada masalah langsung sebab sesiapa pun mereka boleh ketengahkan calon mereka dan juga poster boy tetapi di peringkat BN kita adalah beliau,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Penawar menyaksikan empat penjuru, Fauziah akan menentang calon Mohd Faizal Asmar (Perikatan Nasional); Norazila Sanip (Pakatan Harapan) dan Rahmattullah Kamilin (Pejuang). – UMNO Online