Rakyat Mesti Tolak Politik Kebencian Tak Sudah-sudah, Fokus Masa Depan

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat Johor menolak politik kebencian yang tidak sudah-sudah dan memberi fokus kepada apa yang penting iaitu masa depan rakyat dan negeri itu.

Dalam hal ini, beliau yang juga Presiden UMNO mendoakan semoga segala kebenaran yang terlihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini membuka mata rakyat khususnya Bangsa Johor dalam menilai sebuah kisah politik budiman melawan politik kebencian.

“Saya simpati melihat Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan begitu terdesak sehingga terpaksa datang berkempen di Johor sejak beberapa hari lalu. Ternyata juga kroni dan sekutu-sekutu politiknya yang sedang kerisauan amat tidak berhati perut membawa Tun Mahathir berkempen untuk mereka di PRN Johor.

“Semoga Tun Mahathir yang juga bekas PM (perdana menteri) Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diberi kesihatan oleh Allah S.W.T dan semoga dibuka pintu hatinya melihat kebenaran.

“Jangan salah faham. Hakikatnya BN sebagai sebuah parti politik yang sentiasa mendokong prinsip demokrasi tiada masalah Tun Mahathir berkempen di Johor, malah percaya kemunculan Tun Mahathir di Johor tanpa disedarinya akan menyumbang kepada kemenangan mutlak BN pada 12 Mac ini insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya rentetan Tun Mahathir yang turut berkempen walaupun baru keluar dari hospital dan doktor memberi amaran kepada berkaitan risiko kesihatan.

Dalam hal ini kata Zahid, berkempenlah Tun Mahathir demi kepentingan kroni-kroni, namun sentiasalah utamakan kesihatan.

“Bagaimanapun ada sedikit kekesalan apabila melihat Tun Mahathir masih terus dengan pendekatan politik tipu daya dan menggunakan kata-kata kesat. Pasti semua masih ingat pada Mei 2019 Tun Mahathir pernah menggelar seseorang yang disanjungi dan disayangi Bangsa Johor sebagai ‘budak bodoh’.

“Beliau juga pernah mendakwa hanya orang bodoh berada dalam UMNO dan seterusnya bodoh itu dan bodoh ini dan keluar lagi perkataan bodoh dalam kempen PRN Johor.

“Seolah-olah perkataan bodoh dan Tun Mahathir berpisah tiada. Barangkali pada Tun Mahathir hanya beliau yang pandai dan orang lain semuanya bodoh.”

Jelasnya, itu contoh yang sangat tidak baik dalam mengetengahkan politik matang dan sejahtera kepada rakyat khususnya generasi muda Johor.

“Kita faham Tun Mahathir sekali lagi cuba menanam politik kebencian seperti yang beliau lakukan pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) gara-gara sedang sangat terdesak. Kebencian terhadap pemimpin BN yang enggan tunduk kepadanya selepas 9 Mei 2018 lalu beliau zalimi dengan pelbagai tindakan tidak berhati perut.

“Saksikan bekas ‘jeneralnya’ untuk menjatuhkan PM ke-5 dan 6 yang kini mengetuai Perikatan Nasional (PN) turut menggunakan pendekatan politik sama sempena PRN Johor.

“Watak pemimpin yang konon merendah diri, pandai baca doa dan mengaku tidak suka mencaci serta menghina selama 17 bulan sudah tiada lagi.”

Tegas Zahid, lakonan hebatnya sepanjang menjadi Perdana Menteri Kerajaan PN telah berakhir.

“Wal hasil balik asal. Hipokrasi yang terdedah jua akhirnya. Kesimpulannya ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Keburukan sedikit sebanyak diwarisi jua. Dalam kisah mereka berdua tampak diwarisi sepenuhnya,” katanya lagi. – UMNO Online