Terima Kasih, BN Rampas Kembali Johor Untuk Pastikan Rakyat Sejahtera – Mohamad

Katanya, selepas ini BN akan pastikan rakyat Johor hidup sejahtera untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Malam ini malam bagi kita untuk buka lembaran baru kerajaan BN yang akan ditubuhkan. Terima kasih kepada Datuk Seri Presiden dan rakan-rakan kepimpinan parti UMNO, MCA, MIC dan rakan-rakan kompenan BN serta seluruh barisan jentera yang datang membantu dan merampas semula Johor,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah PRN Johor berkata demikian dalam ucapan selepas BN memperoleh majoriti 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor untuk membentuk kerajaan negeri, malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau juga memaklumkan telah dapat menjalankan tugas yang diamanahkan oleh parti.

“Saya sebagai Pengarah PRN Johor telah menjalankan tugas untuk membantu BN merampas kembali Johor yang telah jatuh ke tangan PH pada PRU-14. Kalau ada silap salah, terkasar bahasa saya mohon maaf,” katanya lagi.

Sebanyak 56 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Johor kali ini.

DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan lepas manakala penamaan calon diadakan pada 26 Feb lepas. – UMNO Online