Syukur Pelbagai Spekulasi Diselesai, ‘Top 5’ UMNO Sepakat – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur kerana Perhimpunan Agung UMNO 2021 telah pun dapat dilaksanakan dengan sempurna hari ini.

Katanya, sebelum ini pelbagai spekulasi dilontarkan terhadap UMNO selain persoalan yang turut dikemukakan oleh jurucakap pada perhimpunan kali ini.

“Kami berlima merasa syukur dan lega kerana apa yang telah menjadi isu sama ada ketika perbahasan di peringkat sayap-sayap dan perbahasan diperingkat perhimpunan agung sendiri berkaitan pelbagai spekulasi di luar dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO yang turut disertai timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Ujarnya, dengan penggulungan dalam persidangan terbabit menolak perbezaan pendapat antara mereka.

“Namun kita merasakan bahawa kesaksamaan dalam lontaran pandangan dan idea dari negeri-negeri sama ada di sayap dan negeri-negeri yang datang sebagai jurucakap termasuk juga Veteran, Kelab SiswaUMNO dan Kelab UMNO Luar Negara telah memperlihatkan bahawa perbahasan kali ini adalah memfokuskan kepada isu-isu nasional terutamanya apabila soal penetapan Pilihan Raya Umum (PRU) dan juga pemilihan parti.

“Perwakilan telah bersetuju bahawa ‘top five’ iaitu Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden mengadakan perbincangan sebelum ianya dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk dijadikan sebagai ketetapan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah bahawa kekerapan berjumpa adalah tidak kurang daripada sebulan setengah bagi tiap-tiap pertemuan.

“Jika ada isu-isu yang melibatkan parti dan isu-isu yang melibatkan tentang soal rakyat kami berjumpa lebih kerap daripada itu.

“Apa yang dinyatakan olehnya dan juga Timbalan Presiden nyatakan sebelum ini dan juga Perdana Menteri bahawa optik dan naratifnya tidak akan diumumkan pada umum. Bagi kita itu adalah perbincangan dalaman parti,” jelasnya.

Jelasnya lagi beliau merasakan wujud keabsahan dan kebersamaan ketiga-tiga pemimpin utama parti UMNO.

“Kita merasakan keakraban dan kebersamaan ketiga-tiga pemimpin utama dalam UMNO ini bukan saja telah memperoleh ‘endosment’ daripada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO tetapi merasakan konsep musyarawah dan kesepakatan secara syura ini kami lakukan; biarpun ianya tidak terdapat dalam peraturan atau perlembagaan UMNO.”

Beliau berkata  UMNO menghormati Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan September lepas yang akan berakhir Julai ini.

“Kami telah mengambil pendekatan-pendekatan bahawa keutamaan pada kepentingan parti, rakyat dan negara adalah dijadikan asas tentunya bagi Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-15.

“Kami menghargai bahawa peraturan yang ada terutamanya dalam perlembagaan dan keputusan harus diambil oleh kabinet. Seterusnya keputusan kabinet itu akan dibawa oleh Perdana Menteri dan akan dipersembahkan kepada Tuanku,” ujarnya lagi. – UMNO Online