Lawatan PM Ke UAE: Malaysia Perlukan Kepimpinan Lebih Kompeten Sesuai Kedudukan Negara

KUALA LUMPUR, 13 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan bahawa Malaysia nyata memerlukan kepimpinan baharu yang lebih kompeten di Kementerian Luar Negeri apatah lagi prestasi semasa Menteri Luar tidak sesuai dengan pengalaman, kedudukan dan kepentingan global Malaysia.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian susulan apa yang berlaku semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah sesuatu yang sangat dikesali.

“YAB Perdana Menteri dalam lawatan sulungnya ke negara Timur Tengah, tidak wajar melalui apa yang beliau lalui.

“Wisma Putra gagal memastikan beliau diberikan penghormatan sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin utama negara dan pemimpin penting sebuah negara Islam.

“UAE adalah negara yang sangat meraikan tetamu dan sudah pasti, jika kita menggunakan segala sumber dan kekuatan jaringan persahabatan kita dengan mereka, perkara yang berlaku itu tidak akan terjadi,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Tegasnya, apapun alasan Wisma Putra, kegagalan ia merancang dan mengurus lawatan sepenting ini adalah sangat memalukan.

“Bukan sahaja kegagalan dari segi protokol, malahan tiadanya rencana konkrit semasa lawatan Perdana Menteri menunjukkan betapa gagalnya Wisma Putra dalam merencana kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Menyalahkan segalanya kepada diplomat kita adalah sangat tidak profesional. Menteri Luar Negara harus mengambil tanggungjawab terhadap semua yang berlaku. Beliau lupa bahawa, beliaulah yang memimpin Wisma Putra.

“Segala kejadian yang berlaku di Dubai adalah masalah yang terbit dari kegagalan beliau dalam memimpin dasar luar Malaysia yang aktif, bebas dan progresif serta memperjuangkan kepentingan antarabangsa Malaysia secara strategik.”

Katanya, semenjak 2018, keterlihatan negara dan peranan antarabangsa Malaysia semakin mengecil dan ia adalah ‘a new normal’ yang asing dengan dasar luar Malaysia yang aktif sebelum ini.

“Apalagi bila YAB Perdana Menteri kita sendiri diperlakukan dengan cara yang tidak selayak dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin terpenting Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, Kementerian Luar mengesahkan Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang atas kegagalan menyelaras urusan lawatan rasmi perdana menteri pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Menurut Wisma Putra, tindakan itu diambil kerana kedua-dua ketua perwakilan tersebut didapati gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan itu, berdasarkan Prosedur Operasi Tetap bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan perdana menteri di Dubai. – UMNO Online