Terhimpit Hendak Di Atas, Terkurung Hendak Di Luar

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Presiden UMNO Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi meminta agar TSMY campur tangan dalam kes mahkamah yang beliau sedang hadapi.

Pertama, Presiden sudah berkali-kali mengatakan, beliau mahu bersihkan nama melalui proses mahkamah.

Kedua, jika perkara ini berlaku pada permulaan penubuhan kerajaan PN seperti didakwa TSMY, kenapa beliau hanya buka cerita ini semasa tempoh Pilihanraya Negeri Johor? Iaitu dua tahun selepas tertubuhnya kerajaan PN dahulu.

Kenapa hanya apabila ditekan oleh UMNO, keluarkan cerita cerita sebegini? Hingga mengguna saluran utama untuk keluarkan dakwaan tersebut setelah tiada lagi kepentingan dengan UMNO? Kenapa tak dari awal?

Inilah yang dimaksudkan peribahasa terhimpit hendak di atas, terkurung hendak di luar. Tidak mahu mengambil tanggungjawab atas ketidakikhlasan berkawan dengan UMNO. Bila UMNO bantu pinjamkan majoriti, tiada bunyi. Bila nampak UMNO tak lagi mahu bersama, lain pula.

Dalam erti kata lain, sama ada ini cerita rekaan, atau beliau pentingkan jawatan selaku PM. Pilihlah yang mana satu.

Atau lebih tepat, pilih naratif ini: Presiden UMNO telah memimpin parti yang telah jatuh sehingga mampu bangun dan kembali ke landasan kemenangan. Telah membawa kejayaan-kejayaan dalam tempoh singkat yang tak terbayang dek akal sewaktu mula-mula pasca PRU14 – walaupun ditekan pelbagai pihak sejak 2018. Maka, lawan parti akan sentiasa tidak senang duduk, melempar pelbagai tuduhan dengan niat menjatuhkan, meskipun beliau tidak pun disabitkan apa-apa kesalahan lagi.

#SambungYangTergendala

SHAHRIL HAMDAN