MP Pembangkang Dibidas Kait Etika Pemakaian Di Premis Kerajaan Dengan Isu Kaum

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekesalan beliau dengan tindakan ahli Parlimen parti pembangkang yang bertindak mengkritik etika berpakaian untuk orang awam berurusan di premis jabatan dan agensi kerajaan.

Jelas beliau, tidak sepatutnya perkara seperti itu dipersoal seolah-olah menjadi perihal yang amat membebankan rakyat.

“Cuba menimbulkan persepsi berkaitan etika berpakaian semasa berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan dengan isu kaum sangat melampau.

“Saya berharap para penjawat awam tidak terkesan langsung dengan pandangan Ahli Parlimen pembangkang tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama sejak dulu memahami konsep kesopanan dan kesusilaan yang merupakan sebahagian daripada Rukun Negara.

“Semua mengerti pakaian yang sopan dan susila tidaklah bererti pakaian yang berharga mahal atau cantik belaka.

“Mahu mengaitkan etika berpakaian sebagai membebankan golongan miskin atau etnik tertentu adalah dangkal dan berlebihan.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat berbudi pekerti selari dengan nilai tinggi kesopanan budayanya,” ujar beliau.

Terdahulu menerusi laporan portal berita, seorang ahli Parlimen Dap menyuarakan bantahan tindakan beberapa agensi perkhidmatan kerajaan yang dikatakan cuba menetapkan kod pakaian kepada orang awam yang mahu datang menyelesaikan urusan.

Beliau juga berharap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mengambil tindakan segera terhadap ketua jabatan di agensi kerajaan yang bertindak di luar kuasa mereka. – UMNO Online