Parti Bergabung BN Lafaz Ikrar Janji, Komitmen Demi Kejayaan PRU-15

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Parti-parti bergabung dalam Barisan Nasional (BN) hari ini telah melafazkan ikrar dan janji dalam meneruskan perjuangan demi membela rakyat.

Parti-parti bergabung BN terdiri daripada Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Berikut adalah ikrar dan janji yang dilafazkan iaitu:

PERTAMA, memberikan sepenuh komitmen, menghormati dan menjunjung tinggi keputusan Barisan Nasional di dalam menentukan hala tuju PRU-15 demi memastikan kejayaan dapat dicapai.

KEDUA, memastikan usaha untuk memenangi semula
hati rakyat bagi mengundi Barisan Nasional dapat dilakukan secara berkesan demi menjamin kestabilan, kejayaan, kemajuan dan kemakmuran negara.

KETIGA, menumpukan taat setia tidak berbelah bagi kepada barisan nasional serta memperkasakan gerak kerja parti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional di dalam PRU-15.

KEEMPAT, bekerja dengan lebih gigih serta menyumbangkan sepenuh tenaga, idea dan masa bagi memastikan Barisan Nasional mencatat kemenangan besar di setiap parlimen dan dun yang ditandingi.

KELIMA, berganding bahu, bersatu hati memikul amanah dan tanggungjawab serta memastikan kesepaduan jentera di setiap peringkat dapat diperkemas dan diperkasakan bagi menawan semula Putrajaya.

KEENAM, mengenepikan setiap perbezaan serta meningkatkan solidariti antara parti di dalam Barisan Nasional bagi membentuk kesatuan yang utuh demi untuk menumbangkan lawan. – UMNO Online