Larang MP Dituduh Di Mahkamah Hadir Parlimen Langgar Prinsip Asas ‘Innocent Until Proven Guilty’

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan adalah melanggar prinsip asas ‘innocent until proven guilty’ dan beban pembuktian ‘beyond a reasonable doubt’.

Maka tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, jangan ditambah kezaliman kepada mereka yang mungkin sedang dizalimi.

“Itu baru cadangan yang belum dibentang dan belum dibincang dengan ahli-ahli Parlimen. Sistem kehakiman di Malaysia tentunya berpagang kepada seseorang itu tidak bersalah sehingga diputuskan benar-benar bersalah dalam perbicaraan dalam mahkamah yang adil. Hukuman pula boleh dirayu hingga ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, seseorang itu masih berpeluang untuk didapati tidak bersalah atau bersalah.

“Tidak kiralah seseorang itu Ahli Parlimen Kerajaan atau pembangkang atau rakyat biasa, negara ini tertakluk kepada prinsip ‘innocent until proven guilty’, maka sewajarnya Ahli Parlimen perlu dibenar meneruskan tugas di kawasan dan di Dewan Rakyat sehinggalah mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” jelasnya kepada UMNO Online berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, terlalu kerap sesuatu kes mengambil keputusan yang lama.

“Maka sewajarnyalah Ahli Parlimen yang terus diberi elaun itu dibenar mengikuti, mengambil bahagian, mengundi dalam siding di Dewan Rakyat dan berkhidmat di kawasannya selama tempoh perbicaraan kerana beliau adalah masih tidak bersalah selagi keseluruhan prosesnya belum selesai,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju dengan cadangan melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan. – UMNO Online