Ismail Sabri Suntik Semangat Jentera Penerangan UMNO Laksana Persediaan PRU

BENTONG, 6 Jun – Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkesempatan meraikan perasmian penutup Permukiman Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung semalam.

Permukiman selama tiga hari dua malam yang bermula sejak Jumaat di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) itu melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.

Ismail dalam ucapan turut berpesan kepada kesemua jentera penerangan untuk melaksanakan persiapan sebaiknya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Datuk Khaidiriah Abu Zahar serta kepimpinan parti yang lain.

Kehadiran beliau ke permukiman tersebut ternyata memberikan suntikan semangat kepada jentera penerangan seluruh negara bagi meneruskan gerak kerja sebaiknya kepada parti.

Rata-rata peserta yang hadir juga meluahkan penghargaan kepada Ismail yang sudi meluangkan masa bersama mereka di sebalik kesibukan mentadbir negara. – UMNO Online