Keutamaan Negara Hadapi Krisis, Tingkatkan Kecekapan Awam

Negara berhadapan dengan pelbagai cabaran kebelakangan ini.

Ekonominya menunjukkan pemulihan yang sangat perlahan. Pelaburan asing hanya sekadar iltizam di atas kertas. Krisis makanan adalah realiti yang nyata. Sistem immigrasi terus bermasalah. Kesesakan lalu lintas membarah apalagi bila sistem rel semuanya semakin usang dan menua.

Penafian bukan lagi pilihan kepada Kerajaan. BN sebagai sebahagian dari Kerajaan tidak akan lari dari tanggungjawab atas semua ini.

Namun meletakkan segala kesalahan kepada Perdana Menteri adalah tidak wajar. Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan menunjukkan kepimpinan.

Namun dimana semua Menteri di kala Perdana Menteri berhadapan dengan pelbagai asakan kerana keculasan mereka dalam tanggungjawab.

Krisis makanan bukan isu baru dan semakin meruncing semasa pandemik. Masakan Menteri dan Kementerian berkaitan tidak boleh merancang ke hadapan bagi megelakkan segala masalah ini.

Ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan minyak masak menjadi mahal tetapi yang lebih membimbangkan ialah bekalan makanan tidak mencukupi.

Malaysia negara membangun paling berjaya. Tetapi masakan rakyat Malaysia dalam kurun ke 21 kekurangan makanan apalagi sumber protein!.

Ingin memperbaharui pasport mengambil masa berminggu. Ditambak Johor, ratusan ribu terpaksa beratur berjam-jam lamanya kerana kesesakan di CIQ Malaysia.

Sedangkan semua mempunyai masa hampir dua tahun untuk menambahbaik sistem bagi kelancaran perkhidmatan sewaktu pandemik.

Entah berapa kali lagi LRT tidak lancar berfungsi, menyukarkan ratusan ribu pekerja yang harus ke pejabat setiap hari. Kesesakan di Kuala Lumpur dan lebuhraya pula semakin menggila.

Semuanya hanya memaparkan satu gambaran. Bahawa perkhidmatan awam di Malaysia berhadaan krisis keyakinan dan kecekapan.

Kepada Menteri Kewangan, keutamaan negara ialah mengatasi krisis ekonomi. Keutamaan menteri nampaknya Kuala Selangor.

Perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekalipun anak angkat. Ini adalah dasar sasau dan keliru.

Kepada kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, menguatkuasakan peraturan disiplin untuk memastikan bahasa Melayu diutamakan sepenuhnya bukan keutamaan sama sekali.

Meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam adalah apa yang negara ini perlukan pada waktu ini.


MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO