KBS Jangan Berat Sebelah, Perlu Adil Beri Ganjaran Kepada Atlet Cemerlang

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat bersikap adil dalam memberikan ganjaran kepada atlet yang menampilkan prestasi cemerlang ketika mewakili negara.

Katanya ini kerana, isu imbuhan yang mahu diberikan juga harus meliputi semua jenis sukan tanpa dilihat berat sebelah.

“Ramai juga tanya pendapat saya tentang kontroversi KBS hendak beri imbuhan kepada skuad bola sepak. Imbuhan ekoran layak ke Piala Asia 2023 adalah ok kerana diharap dapat meningkatkan motivasi pemain untuk terus cemerlang di atas padang.

“Bagaimanapun sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam perihal setiap jenis sukan perlu bersikap adil. Kita berharap setiap atlet yang melakar sejarah hebat buat Malaysia turut diberi imbuhan khas oleh kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga berharap isu yang dibangkitkan ini tidak akan mengganggu prestasi skuad Harimau Malaya yang mempunyai misi lebih besar selepas ini.

“Walau apa pun kita juga berharap kemelut ini tidak menjejaskan moral para pemain bola sepak yang akan beraksi di China nanti. Usah diganggu mentaliti mereka dalam kancah yang tidak sepatutnya. Kelayakan ke Piala Asia 2023 hanyalah permulaan.

“Adakah sesiapa terfikir apa agaknya dalam fikiran Kim Pan-Gon selepas mengetahui keadaan ini? Harap jurulatih dari Korea Selatan itu tidak begitu terkejut dan ok sahaja. Kekalkan fokus kemenangan wahai Harimau Malaya!” ujar beliau.

Terdahulu, pertimbangan untuk memberikan ganjaran kepada skuad bola sepak kebangsaan itu mendapat perhatian bekas pengurus Selangor yang juga pemerhati sukan, Zakaria Rahim.

Beliau berkata masih banyak sukan lain lagi yang lebih layak dipertimbangkan untuk diberikan imbuhan seperti skuad hoki negara yang muncul naib juara Piala Asia serta layak beraksi secara merit ke Piala Dunia 2023.

“Pasukan hoki negara masuk final Piala Asia, naib Juara Asia, layak ke Piala Dunia 2023, ranking nombor 10 dunia, mana imbuhan? Pasukan terjun negara yang rata-rata atlet muda remaja sapu bersih semua lapan pingat emas di Sukan Sea tak ada imbuhan, tak disambut?” katanya menerusi status di media sosial miliknya. – UMNO Online