Pengguguran Tajuddin Tidak Beri Gambaran UMNO Hadapi Krisis Dalaman – Mahdzir

KUALA NERUS, 27 Jun – Pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak menggambarkan wujudnya krisis dalaman parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO tidak menghadapi sebarang krisis dalaman ketika ini dan menafikan wujudnya puak tertentu di dalam parti itu.

“Tidak ada apa-apa krisis, kalau nak krisis, ia akan jadi puak, jadi pasukan, itu barulah krisis, ini tidak jadi puak apa-apa pun.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan skrol diploma dan sijil kepada 648 graduan Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pada Majlis Konvokesyen Kolej KETENGAH Ke-3, di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, (UMT) di sini hari ini.

Khamis lalu, MKT UMNO mengumumkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

Jawatan tersebut telah diganti oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang telah mengangkat sumpah pada Jumaat.

Susulan itu, pelbagai spekulasi timbul termasuk yang mengaitkan wujudnya perpecahan dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO. – UMNO Online