Tasamuh Mampu Jadi Alat Satu Padukan Umat Islam Dan Dunia, Sesuai Konsep Keluarga Malaysia

PETALING JAYA, 30 Jun – Konsep Tasamuh iaitu toleransi atau berlapang dada, mampu menjadi alat menyatupadukan umat Islam serta dunia, dan seharusnya diterap dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata konsep Tasamuh yang mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

“Konsep ini yang turut bermakna bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi, telah ditekankan oleh kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam ucapan semasa perasmian Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata konsep Keluarga Malaysia mampu disempurnakan oleh para ulama dan Ilmuwan Islam, dengan memberi pendekatan ertikata kesatuan berlandaskan Islam.

“Kerajaan sedar ulama dan Ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus, siratulmustakim.

“Justeru kita sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta Ilmuwan Islam, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sepertimana dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat).

Katanya ia berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.

Menurut beliau, pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.

“Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem,” tegasnya.

Justeru katanya, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing, bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran dihadapi umat Islam seluruh dunia.

Perdana Menteri berharap agar perhimpunan ulama dan Ilmuwan Islam kali ini dapat menghasilkan kata sepakat dan memainkan peranan efektif ke arah kesatuan dan mewujudkan khaira ummah.

“Saya juga berharap semua input dan pandangan yang dibincangkan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada satu usaha yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Persidangan yang julung kali diadakan ini yang menghimpunkan 44 penceramah dari 17 negara, antaranya bertujuan mencari kesedaran dan pendidikan bagi menghadapi ideologi ekstremis dan menggantikan perbezaan antara masyarakat pelbagai latar belakang politik kepada kerjasama dan perpaduan.