Nak Menang PRU, Bekerjalah Untuk Pastikan Kemenangan… Dah Menang Maka Bersetialah – Mohamad

KOTA KINABALU, 2 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan anggota parti sekiranya mahukan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 maka bekerjalah untuk pastikan kemenangan.

Ujarnya yang juga Timbalan Presiden UMNO, maka apabila dah menang bersetialah kepada parti dan berkhidmat untuk rakyat.

“Apabila kita kalah pada 2018, ramai katak-katak yang keluar melompat dari parti kita. Pada ketika itu mereka ingat ‘kapal’ kita dah karam, tak ada lagi masa depan BN tapi alhamdulillah, berkat kesabaran panglima dalam BN Sabah, kembali membina dan BN bangkit malah sekarang kita bersedia untuk mengambil alih Putrajaya,” katanya.

Ujarnya, rakyat hari ini sudah sedar berkaitan kesilapan dalam memilih kerajaan lalu malah telah tahu membezakan antara kerajaan yang terbaik.

“Ada tiga kerajaan yang dah tadbir negara maka rakyat sudah boleh bezakan mana yang terbaik,” katanya.
Dalam melaksanakan kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU, Mohamad yang juga Pengarah Jentera PRU BN memaklumkan akan turun padang.

“Saya akan turun di setiap bahagian, bersiap saja. Saya nak lihat kesiapsiagaan disetiap jentera.

“Kita pelajari daripada latihan amali di Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN). Nak menang buat cara nak menang, kata dah sedia maka kita tunjukkan kita benar-benar sedia.

“Apa yang terbaik untuk parti maka jangan kita patahkan semangat jentera kita di seluruh pelusuk negara,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Konvensyen BN Sabah yang berlangsung sehari, hari ini.
Dalam sidang media, beliau ditanya berkaitan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menyatakan sebarang tindakan menyerangnya bermakna melemahkan kepimpinan gabungan politik itu.

Kata Mohamad, ucapan terbabit amat baik kerana yang penting adalah kesepaduan dalam kalangan anggota BN.

“Kita sentiasa menyokong PM malah dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) lalu pun kita telah mengulangi bahawa beliau adalah ‘poster boy’ kita,” katanya. – UMNO Online