Kenyataan Dipetik Luar Konteks Beri Gambaran Negatif – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap temubual beliau bersama media yang berpangkalan di Hong Kong iaitu Asia Times dilihat dalam konteks yang menyeluruh.

Katanya kenyataan yang dibuat secara piecemeal atau terpisah-pisah seperti mana yang dilaporkan boleh memberi gambaran yang tidak tepat.

“Saya ingin membuat penegasan bahawa wawancara saya dengan Asia Times yang berpengkalan di Hong Kong baru baru ini mesti dilihat dalam konteks keseluruhan atau in totality dan bukan secara piecemeal dan terpisah-pisah sehingga ianya memberi gambaran yang tidak tepat.

“Sangatlah penting untuk saya menegaskan bahawa konteks keseluruhan temubual tersebut ialah penegasan saya bahawa setiap orang yang dituduh berhak menerima penghakiman yang adil tanpa sebarang konflik kepentingan serta pengampunan di bawah undang-undang Malaysia hanya akan diberi selepas seorang tertuduh telah mula menjalankan hukuman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ketua UMNO Bahagian Rembau bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk mengulas panjang lagi berkenaan isu ini.

“Segala yang di luar konteks tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan diri saya serta dijadikan bahan propaganda musuh politik UMNO.

“Saya tidak lagi berhasrat untuk mengulas perkara ini dan keseluruhan fokus saya ialah menyediakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” ujar beliau. – UMNO Online