PN Guna Warna Mirip BN, Adakah Logo Pun Serupa? Soal Zahida

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata selepas Perikatan Nasional (PN) menggunakan warna mirip Barisan Nasional (BN), adakah mungkin logo juga menyerupai.

Katanya, tindakan PN mengamalkan pendekatan sedemikian ternyata mereka telah kalah teruk di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan juga Johor lalu.

“Kalah teruk, rakyat menolak mereka dalam PRN Melaka dan Johor.

“Jelas rakyat bijak menilai, pilih parti yang terbukti mampu berkhidmat, bukan parti yang tiada prinsip dan bersifat khianat pada pengundi,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada PRN Melaka, PN hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi berbanding 21 kerusi oleh BN.

Manakala dalam PRN Johor, PN hanya mendapat tiga kerusi berbeza BN dengan 40 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhan.

Baru-baru ini, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka akan memperkenalkan logo baru untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Pas yang merupakan anggota PN sebagaimana kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan tidak menggunakan logo PN dan partinya sendiri di dalam PRU akan datang dan digantikan dengan logo baharu. – UMNO ONLINE