Usaha Proaktif, Kreatif Pemimpin UMNO Bantu Rakyat, SUA Ucap Tahniah

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan tahniah kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di atas usaha beliau menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa untuk membantu para pelajar.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Ahmad berpendapat, usaha proaktif dan kreatif ini mampu menyelesaikan isu utama kini iaitu kenaikan kos sara hidup.

“Terima kasih, ada tiga lagi universiti tawar menu serendah RM3.50. Usaha kreatif yang mampu membantu siswa-siswi.

“Ayuh kita bersama rakyat untuk selesaikan segera masalah-masalah,” ciapnya.

Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia ditubuhkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah atas dasar keprihatinan kementerian dalam menyokong dan memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Antara usaha yang dilakukan oleh jawatankuasa ini adalah pengecualian bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha cafeteria, inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, pemerkasaan inisiatif Food Bank Siswa, penyelarasan kadar upah Program Job on Campus (JoC) di peringkat IPT, Pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa, Pemberian rebat atau pengecualian cukai serta jadual pergerakan pengangkutan yang kerap. – UMNO Online