RUU Anti Lompat Parti Lulus, Satu Kemenangan Rakyat – Zahida

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang lulus semalam merupakan satu kemenangan kepada rakyat.

Katanya, rakyat sememangnya mahu sistem demokrasi negara diperbaiki semula selepas rosak akibat kegilaan Ahli Parlimen lompat-melompat demi kepentingan sendiri.

“Rakyat sudah muak dengan krisis politik tidak berkesudahan, meluat dengan ‘katak-katak’ yang membuatkan hilang kestabilan dalam kerajaan dan negara.

“Jangan ada lagi ahli yang khianat mandat rakyat selepas ini.

“Pastikan pilih parti yang terbukti mampu membawa kestabilan dan kemajuan kepada negara,” serunya dalam satu lontaran di Facebook.

Semalam, di Dewan Rakyat terciptanya sejarah besar buat negara apabila RUU Anti Lompat Parti diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga manakala 11 tidak hadir.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Pindaan itu dibahaskan 54 Ahli Parlimen selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkannya untuk bacaan kali kedua kira-kira 11.30 pagi, Rabu..

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Seterusnya, Zahida turut mengucapkan syabas kepada semua Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan serta pembangkang yang menyokong RUU tersebut. – UMNO ONLINE