UMNO Sedia Ikut Ketetapan Kelulusan RoS Berhubung Pindaan Perlembagaan Parti – Ahmad Maslan

PONTIAN, 30 Julai – UMNO bersedia untuk mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) berhubung pindaan Perlembagaan parti itu yang diluluskan RoS semalam.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata satu masyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan pada 4 Ogos ini bagi membincangkan ketetapan yang dibuat RoS selain mengesahkan tarikh berhubung mesyuarat parti berkenaan.

Katanya hanya sedikit pindaan dibuat RoS iaitu pemilihan parti diadakan dalam tempoh pilihan 18 bulan kepada dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan.

“Banyak perkara yang dikekalkan dalam pindaan yang diluluskan tersebut, selaras dengan hasrat UMNO. Ditetapkan satu pemilihan bagi satu penggal… Lagi yang dikekalkan ialah pemilihan dibuat selepas PRU bagi cawangan, bahagian, pemuda dan puteri.

“Perkara yang dikekalkan lagi ialah pemilihan ini dibuat tiga tahun sekali. Namun MT boleh tangguhkan tidak lebih enam bulan selepas PRU dilaksanakan,” katanya selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Terbaik di seluruh Malaysia di Sekolah Menengah Arab An-Nur di Benut di sini, Sabtu.

Semalam, Ahmad dilaporkan berkata RoS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti tidak lebih dari enam bulan selepas PRU dan keputusan RoS itu diterimanya petang semalam menerusi sepucuk surat.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata pada mesyuarat MT 4 Ogos juga akan ditetapkan semula tarikh pemilihan bagi 22,000 cawangan yang sebelum ini ditetapkan pada bulan September.

“Ia (mesyuarat MT) juga akan menyentuh mengenai masyuarat bahagian dan masyuarat Agong UMNO yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada bulan November dan Disember depan. Kami akan tetapkan semula tarikh tersebut dan menetapkan tiada pemilihan cawangan, bahagian dan MT, ini bermaksud pemilihan dibuat selepas PRU.

“Tidak perlu pemilihan dalam parti dalam waktu terdekat, jadi kami boleh lebih fokus kepada PRU. Jawatan sedia ada akan kekal sehingga PRU, ia boleh menstabilkan lagi kedudukan parti dalam menghadapi PRU,” katanya.