Realiti Baharu UMNO, Fokus Gerak Kerja Hadapi PRU15 – Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan parti kini berhadapan dengan realiti baharu iaitu untuk fokus dengan gerak kerja bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya ini selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sudah memberikan kelulusan untuk parti ini mengadakan pemilihan tidak lebih dari enam bulan selepas PRU-15 berlangsung.

“Saya secara rasminya mengucapkan terima kasih kepada RoS yang telah memberikan kelulusan diminta itu dan tentunya apa yang ada di hadapan adalah suatu realiti baharu bahawa pemilihan hanya akan dilakukan selepas enam bulan.

“Ini harus diakui hakikatnya bukan dengan mempersiapkan diri untuk jawatan-jawatan dalam parti namun berikan keutamaan kepada PRU-15.

“Jadi calon atau tidak, rezeki tidak pernah salah alamat, kalau hak kita itu akan dapat kalau sebaliknya kita harus redha dengan keadaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jawab, Saya Tanya – PRU15 – Selesaikah Masalah Negara? yang disiarkan secara langsung di Facebook NRChanneltv malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memaklumkan bagi berhadapan dengan itu konsep WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disenangi) yang diperkenalkan sebelum ini adalah penting sebagai garis panduan untuk meletakkan calon terbaik mewakili parti.

Jelas beliau, ini kerana personaliti calon merupakan elemen utama yang dilihat oleh rakyat dan ianya harus menjadi kriteria utama untuk UMNO/BN

“Saya memperkenalkan konsep WALI dalam perkara ini kebolehmenangan harus jadi keutamaan walaupun orang itu bukan penjawat utama di peringkat bahagian tetapi mempunyai daya kebolehmenangan yang tinggi kita berikan keutamaan kepada orang itu

“Jangan lupa penerimaan pengundi-pengundi pada seseorang itu adalah menjadi kriteria dan kita melihat likeability sama ada orang itu disukai atau tidak.

“Orang boleh terima tetapi tidak tentu orang suka jadi mesti mempunyai ketiga-tiga elemen ini untuk menjadi seorang calon.

“Memang kita bukan maksum terlalu sempurna tetapi berusaha sedaya boleh supaya ketiga-tiga elemen ini menjadi keutamaan yang penting bukan siapa menjadi calon tetapi yang menjadi calon itu boleh menang atau tidak,” ujar beliau.

Beliau pada masa sama turut mengimbau kembali kejayaan UMNO/BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menjadi penanda aras bagi parti dalam menampilkan muka baharu.

Malah katanya, keputusan itu membuahkan hasil apabila parti keramat ini berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga di kedua-dua buah negeri.

Ahmad Zahid pada masa turut memaklumkan bahawa beliau tidak tertekan dengan permintaan daripada sayap-sayap UMNO malah mendengar hasrat mereka yang mengkehendaki 30 peratus kouta sebagai calon pada PRU-15.

“Mereka sebagai pemimpin sayap dituntut kerana suara akar umbi pun begitu saya sebagai pemimpin parti mendengar dan seboleh mungkin kita laksanakan apa yang dikehendaki oleh mereka tetapi mereka terima hakikat dari segi WALI keboleh menangan dan kita lihat di Johor dan Melaka umpamanya kita kemukakan muka-muka baharu termasuk sayap-sayap.

“Di Johor 73 peratus muka baharu dan Melaka 87 peratus walaupun pada peringkat awalnya agak sukar orang yang tidak mencalon menerima hakikat tetapi yang penting adalah pengundi mahu muka-muka baharu dalam kalangan orang-orang muda, ahli profesional termasuk juga muka baharu dalam kalangan kepimpinan bahagian yang kita kombinasikan untuk mencapai keboleh menangan ini,” katanya. – UMNO Online