Harapan Palsu PRU14 Musnahkan Kemakmuran, Rakyat Rindu Pentadbiran BN – Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebahagian kita pernah tersilap menaruh pengharapan kepada kepalsuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan natijahnya amat besar, merimaskan lagi memusnahkan.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ia ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

“Kini sebahagian besar rakyat amat merindui pentadbiran dominan kerajaan BN kerana BN adalah harapan sebenar rakyat.

“Maka menjadi tanggungjawab BN untuk memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan pada PRU-15,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, berkaitan hal terbabit.

Katanya, enerusi PRU lalu keuntungan diinginkan daripada janji bulan dan bintang tidak menjelma, sebaliknya menghilangkan kemakmuran yang dikecapi.

“Ketidakstabilan politik, kerosakan ekonomi negara, kemunduran ekonomi rakyat, kemorosotan kesejahteraan antara kaum. Kesilapan namun bukan berpunca daripada mereka yang tersilap, sebaliknya berpangkal oleh yang bijak memperdaya.

“Bagaimanapun kegagalan negara bagi tempoh 22 bulan dan 17 bulan telah memberi iktibar paling berharga buat mereka.

“Bahawa pengharapan sesuatu yang amat besar ertinya dan tidak boleh sewenang-wenang dieksperimen apatah diperjudi.”

Katanya, pengharapan perlu berpaksi kepada rasional, logik, berfakta dan seboleh-bolehnya pernah terlihat.

“Itu antara faktor sebahagian besar mereka yang terpedaya telah kembali kepada BN. Mereka mengembalikan pengharapan kepada BN untuk memulihkan apa yang telah mereka kehilangan suatu ketika dulu.

“Kemenangan BN dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menzahirkannya.

“Barangkali mereka sedang mengalami perasaan itu iaitu sesuatu baru terasa berharga apabila sudah kehilangannya,” katanya lagi. – UMNO Online