Kajian Sikap Tepat Daripada Pengundi Diperlukan Sebelum Pembubaran Parlimen – Ismail

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kajian sikap yang tepat daripada pengundi-pengundi termasuk kaum lain adalah diperlukan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengambil keputusan untuk membubarkan parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jelasnya, perkara ini adalah disebabkan kawasan pilihan raya terutamanya di pantai barat semenanjung Malaysia mempunyai pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Sebab kita tahu, setiap kawasan pilihan raya terutamanya di pantai barat, mempunyai pengundi berbilang bangsa. Mungkin di Kelantan dan sebagainya, kita mempunyai hampir 100 peratus pengundi Melayu.

“Tetapi kalau di negeri-negeri lain, pengundinya bercampur. Kalau setakat mendapat kajian sikap dari sebelah UMNO semata-mata, ianya mungkin tidak mencukupi. Kita perlu mendapat kajian sikap yang tepat daripada pengundi-pengundi kaum lain yang mana peranan tersebut boleh dimainkan oleh Wanita MCA, Wanita MIC dan itu pun hanya melibatkan BN,” katanya semasa satu sidang media pada Ahad.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden UMNO itu berkata, kajian sikap yang lain juga perlu ada selain daripada kajian sikap penyokong.

“Saya menjangka penyokong UMNO/Barisan Nasioinal (BN) lebih kurang 30 peratus daripada jumlah pengundi. Bermakna kita perlukan pengundi-pengundi lain juga. Kita perlu mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi yang bukan penyokong. Kita kira sebagai pengundi putihlah.

“Jadi kita perlu dapatkan kajian juga mengenai pengundi-pengundi lain baru kita boleh tahu secara menyeluruh kita boleh menang atau tidak. Setelah mendapat kajian tersebut, baru saya yakin untuk membubarkan parlimen untuk pilihanraya. Bagaimana untuk kita memasuki perperangan sekiranya kita tidak tahu sejauh mana kekuatan kita dan sejauh mana kekuatan musuh?” soalnya.

Menurutnya lagi, beliau memberikan cabaran serta tanggungjawab kepada wanita komponen BN untuk membuat kajian yang menyeluruh sebelum memuktamadkan keputusan bagi membubarkan parlimen.

“Jadi, sebab itu saya beri cabaran dan juga tanggungjawab kepada wanita komponen BN tadi supaya membuat kajian sikap yang tepat kepada parti dan Insya Allah saya akan berbincang bersama Top 5 pada bila dan sebagainya berdasarkan dapatan kajian tersebut,” katanya lagi.

Ismail ditemui para pemberita selepas program bual bicara sempena Konvensyen Wanita BN bertempat di World Trade Centre (WTC) yang disertai perwakilan wanita parti komponen BN iaitu MIC, MCA dan PBRS. – UMNO Online