Komitmen Jentera Tahap Terbaik, Bersedia Hadapi PRU-15 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Menyedari episod hitam melanda negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ekoran ketidakstabilan politik, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertekad memastikan kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 nanti adalah sebuah kerajaan yang stabil demi kemakmuran dan kepentingan rakyatnya.

Atas kesedaran itu, sebelum menghadapi PRU-15 ini, UMNO/BN akan memastikan jentera bersiap sedia dalam segala segi supaya kemenangan di pihaknya baik di peringkat Parlimen mahupun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bermula di Sabah dan negeri utara semenanjung kemudian di kawasan tengah dan terbaharu di negeri Pantai Timur, pucuk pimpinan parti yang diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan telah bertemu dengan setiap bahagian untuk mengambil serta memberi input mengenai kesiapsiagaan jentera.

Ketika sesi libat urus di Kelantan pada Jumaat lalu, UMNO Online mendapatkan pandangan dari Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata momentum jentera untuk menghadapi PRU-15 di tahap terbaik.

“UMNO dan BN ingin memastikan tugasan-tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan teliti. Oleh itu kita bertemu setiap bahagian serta memberikan nasihat-nasihat, pandangan-pandangan kepada setiap bahagian agar Parlimen dan DUN tertentu boleh kita ambil, tawan bagi memastikan kerajaan pusat terutamanya adalah kerajaan yang stabil selepas PRU ke-15.

“Bilapun PRU-15 pada tahun akhir empat tahun menuju ke lima tahun, memang inilah kerja BN sejak dulu, kita ingin melengkapkan segala jentera. Kita lihat pada saat ini momentum itu ada bersama dengan BN,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.

Justeru tambah Ahmad, apa yang diungkapkan oleh Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO di majlis perjumpaan bersama jentera negeri Kelantan pada Jumaat lalu adalah sangat tepat.

“Oleh itu kita berikan apa yang disebut oleh Timbalan Presiden iaitu tiga ‘W’. Yang pertama ‘winning mentality’ ataupun minda yang ingin menang, yang kedua ‘winning strategy’ iaitu strategi untuk kemenangan dan ketiga ialah ‘winning move’ ataupun apakah yang perlu dibuat untuk melaksanakan strategi itu.

“Ia bukan hanya perlu semangat, ia juga perlu strategi dan tindakan. Itulah mesej utama Pengarah Pilihan Raya berikan kepada jentera BN negeri Kelantan,” ujarnya.

Selepas ini, sesi libat urus akan melibatkan negeri Johor, Melaka, Perak dan Pahang. – UMNO ONLINE