Semoga Kemerdekaan Ke-65 Zahirkan Patriotisme Yang Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sambutan hari kemerdekaan ke-65 pada tahun ini akan menzahirkan patriotisme yang cukup tinggi dan jitu yang lahir daripada jiwa cintakan negara buat seluruh rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) seterusnya berkata, bagi UMNO pula sudah tentu kejayaan lalu khususnya ketika negara mencapai kemerdekaan adalah kejayaan yang cukup manis dan tidak akan dilupakan.

“Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-65 kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Semoga sambutannya kali ini akan menzahirkan sebuah patriotisme yang lebih tinggi dan jitu yang lahir daripada jiwa cintakan negara buat kita semua.

“Bagi UMNO pula sudah tentu kejayaannya membawa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 antara kejayaan terbesar parti ini yang tidak akan sesekali dilupai. UMNO melakukannya semata-mata kerana sayangkan negara demi memastikan masa depannya bangkit dengan keazaman serta jati diri yang luhur dan tulus.

“Syukur Alhamdulillah UMNO sejak kemerdekaan negara telah pun membawa kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan ke seluruh pelusuk tanah air. Itu semua tidak akan terzahir tanpa semangat kebersamaan dan kesetiaan para pimpinannya yang bergerak sebagai sebuah pasukan walau apa halangan mendatang,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, meskipun berdepan pelbagai cabaran, UMNO sukses menguruskan negara yang terdiri pelbagai kaum, budaya, agama dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Berdepan dengan kelompok yang tidak pernah jemu cuba mengubah nilai kemerdekaan kita agar selari dengan agenda songsang dan cauvinis mereka. Namun kita yakin muslihat mereka tidak akan berjaya selagi UMNO terus kuat berpegang kepada prinsip perjuangannya dan menjadi benteng kemerdekaan,” tambahnya. – UMNO Online