MA63 Lambang Negara Aman, Merdeka Dan Berdaulat

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Hari ini melakar sejarah bagi Malaysia iaitu tarikh pada 16 September 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia melambangkan negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara.

“Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita zahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas Malaysia menyambut ulang tahun penubuhannya Ke-59 hari ini,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu di dalam perutusan sempena Hari Malaysia bagi tahun ini menerusi Facebooknya.

Tambahnya, jasa dan perjuangan pemimpin terdahulu terhadap pembentukan negara amat besar.

“Pelbagai liku dan cabaran negara ditempuh atas pejuangan pemimpin terdahulu dalam membebaskan Malaysia sehingga terbentuk sebuah negara persekutuan yang berpaksikan kepada keluhuran perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Justeru jelasnya lagi, atas pengorbanan itu Malaysia berjaya mengekalkan keharmonian dan persaudaraan masyarakatnya.

“Dengan kepelbagaian budaya dan adat resam yang terbukti menyatupadukan rakyat merentasi ideologi politik demi negara Malaysia dicintai.

“Selamat Hari Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE