WoRLD: Lima Resolusi Bakal Dibawa Kepada Presiden

SEPANG, 26 Sept – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan akan membawa lima Resolusi Wanita UMNO hasil daripada program ‘Women Re-Energized Leadership Development (WoRLD)’ kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau juga memohon sekiranya UMNO/Barisan Nasional (BN) menang besar di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, calon-calon pemimpin Wanita yang menang diberi keutamaan untuk memegang jawatan dalam Kabinet atau jawatan penting di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Resolusi ini menyokong hasrat wanita yang sekian lama berganding bahu dengan jentera pelbagai peringkat, dan terus menerus setia dalam usaha membantu kemenangan parti.

“Kita jatuh dan bangkit bersama. Kita tetap setia dengan UMNO. Kita pastikan UMNO/BN akan menang besar dalam PRU-15!” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup di program ‘Women Re-Energized Leadership Development’, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Wanita BN itu turut mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan program ini.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Sekretariat Professional Wanita UMNO Malaysia yang mempunyai wawasan mengasah kepimpinan wanita, dalam mempersiap sediakan calon Wanita untuk PRU ke-15 akan datang.

“Sesungguhnya, dengan memberi komitmen yang tinggi dari Sekretariat Professional Wanita UMNO yang telah bertungkus lumus memastikan Program WoRLD ini berjalan dengan jayanya, telah menyumbang kepada kejayaan mencapai matlamat utama pemerkasaan kepimpinan Wanita UMNO,” katanya lagi.

Program ‘Women Re-Energize Leadership Development’ berlangsung selama tiga hari dari 23 September sehingga 25 September dengan bertujuan untuk mengarus perdanakan perjuangan Wanita UMNO dalam mendepani PRU ke-15.

Antara resolusi yang dibawa daripada program ini ialah memastikan sekurang-kurang 30 peratus pencalonan Wanita dalam PRU-15; memastikan sekurang-kurang nya 30 peratus Wanita dilantik di peringkat pembuat keputusan di GLC, GLIC, Universiti, badan-badan berkanun serta agensi-agensi Kerajaan dan Kementerian; menubuhkan Akademi Kepimpinan Wanita untuk mempastikan Wanita UMNO sentiasa mewujudkan saluran bakat kepimpinan Wanita tersedia bagi masa hadapan; mendorong anjakan minda daripada pemikiran negatif kepada positif, dalam naratif berstruktur menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan peralihan persepsi rakyat terhadap Wanita UMNO, sebagai kumpulan pemikir yang merancang pendekatan strategik untuk kesejahteraan rakyat. – UMNO Online