Muhyiddin Flip Flop, Hal Pilihan Raya Pun Separuh Masak? – Shahril

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan hari ini menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran berpendirian tidak konsisten berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Katanya, ini dapat dilihat melalui kenyataan yang berdolak-dalik daripada pemimpin itu.

“Nampaknya Pengerusi PN flip flop bukan setakat dalam bab mengurus negara dengan lockdown separuh masak, tutup buka tutup buka tetapi juga berkaitan dengan pendiriannya berhubung pilihan raya.

“Bulan lepas dengan cukup gah mengatakan Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi dan berpandangan bahawa ‘pilihan raya wajar diadakan’. Katanya kalau esok bubar parlimen, dia dah bersedia masuk gelanggang.

“Tiba-tiba bila UMNO putuskan bahawa pilihan raya wajar diadakan tahun ini, Menteri PN pula hantar surat ke Istana Negara membelakangi Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) pula menyebut ‘majoriti jemaah menteri mohon PM tidak adakan PRU15 tahun ini’

“Satu kenyataan yang janggal apabila dari 32 Menteri kabinet yang ada, hanya 12 yang hantar surat kepada Istana Negara.

“Jadi sekarang ni bagaimana Tan Sri Muhyiddin? PM dah hebat uruskan ekonomi? Atau sebenarnya PN takut tidak akan mendapat sokongan rakyat?” sindir beliau.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebentar tadi mengesahkan menteri-menteri daripada PN telah menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan ketidaksetujuan melaksanakan PRU15 pada tahun ini.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, beliau dimaklumkan surat berkenaan telah diterima oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam. – UMNO Online