PRU15… Siapa Khianat, Perbodoh Rakyat Dengan Janji Harapan Palsu – Zahida

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata dalam sejarah sistem demokrasi, pertama kalinya pembangkang takut dan tak mahu pilihan raya.

Ini berikutan keputusan negeri-negeri tadbiran pihak lawan enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) melibatkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Pas.

Dalam hal ini, Zahida membidas mereka dengan persoalan siapa yang tipu perbodoh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan janji harapan palsu?

“Siapa yang tumbangkan kerajaan sendiri selepas berlaku perebutan kuasa yang hebat antara PM dan bekas TPM?

“Lepas 22 bulan penuh dengan kehancuran gagal menjamin kestabilan negara dan rakyat walau diberi mandat.

“Siapa yang khianat? Jadi eloklah kalian terus jadi pembangkang untuk penggal seterusnya,” katanya lagi menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Zahida turut menyertakan tajuk berita berkaitan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pembubaran Parlimen semalam sebagai pengkhianatan kepada rakyat yang sedang dihimpit pelbagai masalah dan bencana.

Terdahulu petang semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU-15. – UMNO Online