BN Ingin Negara Ini Terus Stabil Dan Makmur – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) negara yang stabil dan makmur tentunya akan dapat memulihkan keadaan dari pelbagai sudut setelah rosak akibat pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, tema utama BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ialah ‘Kestabilan dan Kemakmuran.’

“BN ingin kestabilan politik yang boleh membawa negara ini terus makmur. Tema kestabilan dan kemakmuran adalah sesuai pada PRU ke 15 ini.

“BN ingin memperbaiki negara ini dari sudut ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan kena pulihkan paling penting kestabilan politik.

“Kita tidak mahu dalam satu penggal ada tiga perdana menteri dan negeri juga tiga kali menteri besar… macam mana nak buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen kestabilan dan kemakmuran bersama Firdaos Yusof ,menerusi siaran langsung Facebook BN Comms, malam tadi.

Dalam pada itu kata Ahmad lagi, BN berani melakukan perubahan dan menampilkan muka-muka baharu dan lama dan ini juga harapan akar umbi dalam PRU 15.

“Ini adalah campuran dalam muka baharu iaitu calon baharu ada kumpulan muda lelaki dan perempuan; dan calon muka baharu iaitu calon yang tidak pernah bertanding. Seperti contohnya, dari DUN pergi ke Parlimen iaitu bererti dianggap calon itu tidak pernah bertanding ke Parlimen dan ianya muka baharu dalam Parlimen dan sebelum itu pernah menjadi ADUN.

“Sekiranya ketua bahagian dan belum pernah menjadi calon dianggap muka baharu jadi itu adalah kriteria muka baharu dan tentunya anak-anak muda iaitu Pemuda UMNO, MCA, MIC dan PBRS begitu juga Puteri UMNO,” jelasnya.

Seterusnya Ahmad menasihati anak-anak muda yang ingin berkecimpung dalam politik agar selalu balik ke kawasan bertemu rakyat dan mengadakan sebanyak program.

“Jika ingin jadi ahli politik janganlah malas balik kawasan… tak suka jumpa orang, tak payah jadi orang politik, nak jadi ADUN dan malas nak lawat kawasan, tak ada program… tak payahlah. Tiap-tiap minggu saya balik ke kawasan kerana ada program dan boleh lihat di media sosial saya untuk membuktikan bahawa sentiasa berada di kawasan.

“Saya cuba berada di kawasan tiap-tiap minggu tanpa gagal dan apabila balik ke kawasan berpuluh-puluh aktiviti seperti solat berjemaah di masjid dan surau itu adalah aktiviti rutin dan sekiranya ada program besar akan turut hadir dan banyak program diadakan.

“Nak masuk politik ini bukannya larian 100 meter, kena marathon. Kalau tak tahan marathon ini tak lepas. Kalau tak minat… jangan masuk dan kalau minat silakan dan BN mengalu-alukan. UMNO/BN bersyukur menerima anak muda yang bijak pandai di luar sana,” ujarnya.

Tegasnya, kalau dahulu letak songkok boleh menang dan sekarang ini songkok berkilat macam mana pun kena ‘struggle’ baru boleh menang. – UMNO Online